Wednesday, January 9, 2013
Cerpen santai
"Encik Aril, jom pegi makan. I dah lapar la. Nak nasi lemak dahlia, nasi lemak dahlia".
Itu adalah teman wanita aku, Husna dalam panggilan telefon pada suatu petang. Orangnya comel, manja, badannya langsing dan sedikit gedik. Dia masih lagi memanggil aku Encik Aril walaupun sudah hampir setahun kami berpacaran. Tetapi bagi aku itu bukanlah masalah besar kerana aku bukanlah seorang lelaki jiwang yang selalu menukilkan ayat-ayat cinta di facebook. Oh ya, beza umur antara aku dan teman wanita aku adalah 8 tahun, sekadar memberitahu.
"Ok, 15 minit", aku menjawab ringkas.
Selaku seorang lelaki yang setampan Keenu Reeve dan setegas Bruce Wills, aku tidak mengambil banyak masa untuk bersiap. Berseluar jean biru dan tshirt hitam lengan panjang, aku hanya menyisir rambut dengan jari dan kemudian mengambil kunci kereta.
"MMIIAAAOOOOWWWWWW". Aku terpijak ekor Kunyit semasa melangkah keluar. Kunyit adalah kucing kesayangan aku yang dibela selepas ibunya diisytihar 'missing in action' beberapa bulan lepas. Ini adalah kali ketiga aku terpijak ekor Kunyit pada minggu ini. Entah apa yang sedapnya tidur atas pengelap kaki yang berbau tu. Aku mencampakkan Kunyit ke atas sofa sebelum mengunci pintu depan rumah.
Dengan menggunakan gear pada posisi 'D', stereng, pedal brek dan pedal pendikit, kereta aku sampai di hadapan rumahnya 10 minit kemudian. Dia yang telah sedia menunggu terus sahaja membuka pintu kiri kereta dan masuk ke dalam kereta aku. Bau harum menerjah ke hidung aku.
"Wangi tak?", teman wanita aku bertanya.
"Wangi jugak", aku menjawab walaupun pada pendapat aku bau bantal peluk aku lebih wangi.
"Nama wangian ni Lavendar Rose tau, beli dekat Kak Zi", dia memberitahu aku.
"Oohhh", serta merta aku terbayangkan cat berwarna 'Lavendar White' yang aku gunakan untuk mengecat dinding jamban rumah aku beberapa hari lepas.
Warna 'Lavendar White' adalah warna putih tetapi mempunyai sedikit elemen merah jambu. Aku memilih warna ini untuk dinding jamban aku kerana pada hemat aku, warna setenang ini mampu menenangkan perasaan sekiranya aku terkena cirit birit suatu hari nanti.
Aku memandu dengan penuh cermat sambil kami berbincang tentang kehebatan botol air mineral yang boleh dijadikan senjata untuk menjatuhkan kerajaan. Sampai di sebuah simpang empat 2 lorong berlampu isyarat, kereta kami berhenti di belakang sebuah bas. Terdapat sebuah ranting pokok diselitkan pada belakang bas tersebut.
"Mesti tu kerja budak-budak nakal kan", kata teman wanita aku apabila terlihat ranting tersebut.
"Ye la tu, driver bas ni pun sengal jugak. Cabut la ranting tu, buat semak jer nak tengok cermin belakang", aku mengomel.
Dua minit selepas itu kereta-kereta di sebelah kanan mula bergerak apabila lampu isyarat telah hijau. Bas di depan masih tidak bergerak. Aku mula hilang sabar dan mula membunyikan hon bertalu-talu. 10 saat selepas itu, aku tersedar sesuatu. Serta merta aku terus membelok ke kanan dan memintas bas tersebut. Selepas melalui lampu isyarat tersebut, aku dan teman wanita saling berpandangan dan kami terburai ketawa.
Pada hari itu, aku telah mempelajari bahawa ranting pokok yang diletakkan pada belakang sesebuah kenderaan adalah bertujuan untuk memberitahu bahawa kenderaan tersebut telah rosak, bukannya kerja budak-budak nakal. Kah kah kah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment